«

»

Apr
13

Karangan 1 : Tujuan Kerajaan Melaksanakan Program “Satu Murid 1 Sukan”.

Dikarang oleh : Puan Haslina Hassan

Mengamalkan gaya hidup sihat dengan bersukan banyak mendatangkan kebaikan dalam hidup kita.  Namun, kebanyakan pelajar di Malaysia tidak begitu mementingkan penglibatan dalam aktiviti sukan kerana beranggapan aktiviti itu hanya membuang masa.  Lagipun masyarakat lebih memandang pencapaian akademik sebagai ukuran.  Jadi, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) mengambil langkah proaktif untuk mengikis pendapat jumud ini selaras dengan Dasar Sukan Negara melalui pelaksanaan program 1 Murid 1 Sukan(1M1S) yang menuntut penglibatan aktif dan komitmen penuh pelajar dalam satu sukan atau lebih mengikut kemampuan.  KPM telah mewajibkan setiap sekolah melaksanakan program ini agar  minat pelajar terhadap aktiviti sukan dapat dipupuk sejak kecik. ( 101 pp )

Tujuan utama kerajaan melaksanakan program 1M1S ini adalah untuk melahirkan pelajar yang sihat fizikal dan mental.  Pelajar yang bersukan akan bergerak aktif dan mengeluarkan peluh di samping mencerna lebihan tenaga yang tersimpan dalam badan.  Badan akan menjadi lebih cergas jika selalu melakukan aktiviti fizikal dan otak pula menjadi cerdas kerana peredaran darah yang membawa oksigen ke otak menjadi lebih lancar.  Keadaan ini mampu mencetus fenomena yang segar kepada pelajar untuk belajar.  Pelajar tidak lagi tertekan kerana hanya menjadi ulat buku sebaliknya dapat meluahkan tekanan ketika bersukan.  Masalah obesiti dalam kalangan pelajar juga dapat diatasi jika pelajar bersukan secara konsisten sejak kecil.    Jelaslah bahawa dengan melakukan aktiviti sukan, badan akan menjadi cergas dan otak pula semakin cerdas.  ( 118 pp)

Selain itu, program 1M1S ini penting dalam usaha mencungkil bakat terpendam para pelajar dan menjadi pelapis atlet negara.  Ada pelajar yang tidak sedar akan bakat yang dimiliki oleh diri sendiri dan hanya dapat dikesan oleh guru.   Jika mereka tidak diwajibkan untuk terlibat dalam program seperti ini, sudah pasti bakat mereka akan hilang begitu saja.  Kemungkinan negara juga kehilangan atlet yang tersohor jika mutiara yang ada itu tidak digilap sebaiknya.  Guru berperanan untuk mengenal pasti bakat pelajar, menggilap dan menonjolkan kehebatan yang dimiliki sehingga ke persada antarabangsa.  Peluang yang lebih adil dapat disediakan kepada pelajar yang tidak mampu menonjol dalam akademik tetapi mampu mengharumkan nama negara dalam bidang sukan dan menjana pendapatan yang lumayan.  Jelaslah bahawa program 1M1S ini menjadi platform untuk mengenal pasti bakat terpendam yang ada dalam diri setiap pelajar. ( 131 pp )

 

Kerajaan juga ingin mendidik pelajar-pelajar agar menyahut aspirasi 1 Malaysia menerusi budaya bersukan.  Semasa menjalani aktiviti sukan, pelajar-pelajar yang berlainan kaum dan budaya akan bersama-sama melakukan aktiviti dan semasa dalam pertandingan pula, mereka akan bersatu hati untuk mencapai matlamat ke arah kejayaan.  Pada masa itu, mereka akan belajar erti bertoleransi, bekerjasama, semangat berpasukan dan semangat setiakawan.  Mereka juga akan faham erti bersatu teguh bercerai roboh.  Perasaan suka duka yang dialami akan dikongsi bersama-sama.  Jalinan persahabatan yang dibina ketika menjalani aktiviti sukan diharap akan berkekalan selama-lamanya.  Di sini jelas terbukti bahawa aspirasi 1Malaysia mampu tercapai melalui hubungan yang terjalin ketika bersukan tetapi dengan syarat sukan tersebut tidak hanya dimonopoli oleh kaum tertentu sahaja dan situasi ini sebenarnya mampu diperbetulkan di peringkat sekolah.  (116 pp )

Kesimpulannya, program 1M1S ini merupakan satu langkah yang sangat baik dan mendatangkan banyak manfaat kepada pelajar-pelajar.  Pihak sekolah, ibu bapa dan masyarakat sepatutnya memberikan sepenuh kepercayaan terhadap pelaksanaan program ini.  Ibu bapa wajar memberikan sokongan moral kepada anak-anak mereka dan tidak hanya menekankan pencapaian akademik sahaja.  Pihak sekolah pula disarankan agar melaksanakan program ini dengan sebaik mungkin, bukan sekadar melepaskan batok di tangga.  Pelajar pula perlu diterapkan dengan nilai menghargai kepentingan bersukan dalam diri masing-masing.  Jika semua perkara ini diasimilasikan, nescaya Dasar Sukan Negara akan mencapai matlamatnya.   ( 87 pp)

Jumlah patah perkataan = 540

Jumlah isi – 3 isi utama

 

 

 

 

 

1 comment

  1. eika says:

    thank bb dh bntu sy siap kn karangan…..

Leave a Reply

Your email address will not be published.

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>